Perjuangan UMNO masih relevan dan diterima baik

PASIR PUTEH 27 Nov. - Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, perjuangan UMNO masih relevan dan diterima baik oleh semua kaum di negara ini.

Beliau menegaskan, hakikat itu tidak perlu dipertikaikan lagi kerana kekuatan UMNO datangnya daripada perjuangan yang murni demi mempertahankan maruah bangsa, agama Islam dan negara.

``Pendekatan yang kita ambil ialah menyeru kepada kebaikan dari segi pemerintahan kerajaan dan pembangunan untuk semua rakyat.

``Sehubungan itu, setiap usaha yang digerakkan boleh dianggap sebahagian daripada kerja dakwah oleh sekumpulan ahli UMNO demi mempertahankan bangsa Melayu untuk menggerakkan agama dan negara,'' katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu beliau menghadiri majlis berbuka puasa bersama kira-kira 5,000 penduduk tempatan, ketua-ketua jabatan dan pemimpin-pemimpin politik termasuk Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Mustapa Mohamed.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, semua pihak khususnya ahli UMNO di setiap peringkat mesti meningkatkan kerjasama dan perpaduan bagi memastikannya terus bertapak kukuh.

Mengulas mengenai keupayaan UMNO Kelantan beliau berkata, walaupun sudah ada tanda-tanda kedudukan UMNO di negeri ini semakin baik tetapi petunjuk itu mungkin didorong oleh tempoh pembangkang sudah agak lama.

Bagaimanapun katanya, usaha UMNO untuk membangunkan rakyat Kelantan agak sukar kerana ia diperintah oleh parti pembangkang (Pas) yang ternyata tidak mampu membangunkan negeri itu setanding negeri-negeri lain.

``Yang ada hanyalah sekadar berusaha melalui projek-projek Kerajaan Persekutuan seperti pendidikan dan projek kecil bagi penduduk luar bandar sahaja,'' katanya lagi.

Tegasnya lagi, setiap anggota perlu berusaha bersungguh- sungguh untuk memastikan UMNO kembali memerintah Kelantan supaya hubungan dan muafakat antara kerajaan negeri dan Pusat dapat terus ditingkatkan.

Beliau berkata, perjuangan UMNO bukanlah satu perjuangan sempit yang taksub, menggalakkan rusuhan serta melakukan tindakan-tindakan ekstrem.

Katanya, perjuangan UMNO adalah sederhana dan sentiasa mengekalkan hubungan baik antara kaum serta berasaskan rasa saling hormat menghormati antara satu sama lain.

``Inilah yang patut difahami oleh semua pihak termasuk golongan muda yang baru menyertai UMNO agar mereka benar-benar memahami dan menghayati perjuangan UMNO,'' katanya.